Wednesday, January 14, 2015

PENANGKAPAN BETTA LIAR

JIKA ANDA MAHU JADI PENGHOBI BETTA PROFESSIONAL


Sekiranya anda ingin menjadi seorang penghobi atau penternak Betta profesional dan berpengetahuan sifat yang perlu ada ialah sentiasa perihatin dengan kebajikan haiwan dan bertanggungawab. Anda juga  seharusnya  berpengetahuan, mempunyai sifat penyayang dan ghairah dengan Betta yang dipelihara.

·      Anda harus menyedari bahawa Betta  yang ditangkap dari habitat semulajadi atau akan dibiakan dalam tangki destinasi akhirnya ialah tangki akuarium. Walaupun ikan yang ditangkap dari habitat semulajadi merupakan sumber boleh diperbaharui (renewable), adalah perlu diingat bahawa setengah spesies adalah endemik atau hanya boleh diperolehi dari satu tempat itu sahaja di dunia ini. Sebagai contohnya Betta persephone dan B. coccina hanya boleh perolehi di Paya Gambut di Pagoh, Johor juga B. livida hanya ditemui di paya gambut tanjung Malim. Kita juga sedia maklum bahawa habitat semulajadi ini sangatlah rapuh akibat persaingan yang sengit dengan penerokaan tanah dan pembangunan kawasan pertanian;
·      Anda harus mengetahui dan mengumpul sumber maklumat asal usul dan biologi Betta peliharaan anda supaya arif dalam menyediakan keperluan penternakan sesuatu spesies itu seperti keperluan mutu air, pH, jenis makanan yang sesuai untuk sesuatu jenis ikan;
·      Menyediakan akuarium yang sesuai dengan saiz Betta, lengkap dengan sistem penapisan, pengudaraan, tempat persembunyian supaya Betta hidup dengan  selesa di dalam tangki akuarium;
·      Betta yang baru ditangkap dari habitat semula jadi perlu dikuarantin sebelum dimasukkan ke dalam sistem pemeliharaan sebagai langkah pengawalan penyebaran penyakit;
·      Tangki ternakan mestilah ditutup supaya Betta liar tidak melompat keluar kerana ikan yang baru ditangkap ini biasanya tidak selesa dengan suasana di dalam akuarium;
·      Air di habitat asal Betta biasanya bersuhu rendah, oleh kerana itu suhu air tangki ternakan mesti optimum dan sesuai untuk kehidupan Betta dan
·      Anda perlu mempunyai sifat bertanggungjawab terhadap kepelbagaian bio spesies tempatan. Sekiranya anda memelihara Betta eksotik (berasal dari luar negara, termasuk Sabah dan Sarawak) anda tidak seharusnya melepaskan ikan yang anda tidak kehendaki lagi ke ekosistem atau perairan tempatan. Adalah lebih dinasihatkan supaya menghapuskan ikan yang tidak dikehendaki akibat sakit atau terlalu tua dengan cara merendam dalam ais dan klorin dan kemudianya membakar atau menanam untuk tujuan melupuskan ikan yang tidak dikehendaki.

Sebagai kesimpulannya kita perlu sedar bahawa ikan bukanlah bahan yang boleh dilupuskan sesuka hati. Memandangkan kebanyakan Betta diambil dari habitat semulajadi, kelestarian spesies itu perlulah diambil kira. Untuk menjadi penghobi dan penternak yang bertanggungjawab, berpengetahuan dan berkarisma, anda perlu mempelajari tabiat dan keperluan setiap spesies yang anda ternak secara mendalam  dan profesional.  

Wednesday, January 7, 2015

BETTA WARISAN NUSANTARA

PENGENALAN

 
Betta ialah sejenis ikan hiasan yang tidak asing kepada penghobi ikan hiasan di seluruh dunia. Di Malaysia dikenali sebagai ikan Laga,  di Indonesia sebagai Cupang dan Thailand sebagai Pla Kad. Di setengah-setengah daerah di negara kita ikan ini pula dikenali sebagai ikan Karim, ikan Tempala, ikan Laga atau Sepilai. Di Amerika Syarikat ikan ini dikenali sebagai Betta sementara di UK dikenali sebagai Fighting fish. Satu jenis ikan tetapi namanya pelbagai. Dalam kalangan masyarakat negara kita, umum sedia maklum bahawa Betta adalah sinonim dengan ikan pelaga. Bagi tujuan mengelakan kekeliruan kerana nama panggilan yang berbeza-beza ini, istilah Betta digunakan yang merujuk kepada ikan tersebut. Kini istilah ikan Betta tidak asing dalam kalangan penghobi ikan hiasan dan juga orang kebanyakan.

Menurut kajian Etimologi atau kajian tentang asal usul perkataan, nama ikan Betta dikatakan berasal dari perkataan melayu di selatan Siam iaitu , ‘ikan bettah’ yang bermaksud tahan. Sesuai dengan kedaan fisiologi ikan ini yang tahan dan lasak, nama saintifik ikan ini sebagai Betta sp. telah dipilih oleh ahli taksonomi. Nama ikan ini ditulis dengan huruf condong dan dimulai dengan huruf besar. Penamaan saintifik ikan ini sebenarnya telah dibuat lebih seratus tahun lalu. Sememangnya logiknya apabila mengambil kira penggunaan bahasa melayu sebagai lingua franca di kebanyakkan negeri di Nusantara pada ketika itu, bahawa nama Betta ini diambil daripada perkataan melayu iaitu Betah yang bermaksud 'tahan'. 
 

Komuniti Betta anisea


Betta terdiri 2 jenis iaitu Betta hiasan yang merujuk kepada spesies Betta splendens atau Pelaga Siam, yang begitu banyak terdapat dalam pasaran. Betta liar pula dirujuk kepada pelbagai spesies Betta yang ditangkap dari habitat semula jadi selain daripada Betta splendens. Banyak spesies Betta liar di Asia Tenggara telah dijinak dan dibiakkan di dalam kurungan oleh ramai penghobi. Betta liar ini sebenarnya telah menarik ramai pencinta dan penghobi Betta dari seluruh dunia untuk datang ke lokasi semula jadinya di Malaysia, Indonesia dan Thailand. 

Betta albimarginata


Friday, October 2, 2009

IKAN PELAGA (BETTA)

Negara kita terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti terutama ikan-ikan asli yang unit dan cantik. Ikan-ikan asli ini selain menjadi sumber protein masyarakat kita semenjak dahulu, sebahagiannya mempunyai bentuk badan, warna dan rupa yang cantik dan unik. mungkin kita tidak begitu asing dengan istilah ikan hiasan... ikan hiasan ialah ikan yang mempunyai ciri menarik yang dipelihara di dalam tangki atau akuarium yang diletak di dalam rumah bagi menghiasi ruang atau sudut tertentu.

Banyak lokasi di negara kita terutama di perairan dimana airnya masih belum tercemar, terdapat aliran air dari sumber semula jadi seperti di anak-anak sungai atau parit-parit kecil di celah kebun getah atau kelapa sawit, kita boleh menemui banyak spesies ikan asli yang cantik dan sangat sesuai untuk dijadikan ikan hiasan. Salah satu jenis ikan yang boleh kita tangkap dengan mudah di perairan sedemikian ialah spesies ikan pelaga yang dikenali sebagai ikan Betta.
Di negara kita sahaja lebih daripada 10 spesies ikan betta boleh diperolehi di pelbagai lokasi di seluruh negara. sebahagian spesies ikan ini mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran antarabangsa.

SEBAGAI TERAPI MINDA YANG MENTENTERAMKAN

Betta pugnax (pelaga tempatan)

Thursday, October 1, 2009

IKAN HIASAN MALAYSIA


Saya telah menceburi bidang penyelidikan pembiakan ikan hiasan di Malaysia semenjak tahun 1990. Bermula dengan pelbagai ikan hiasan yang ada di negara kita, saya mengorak langkah kepada memperolehi teknologi pembiakan ikan hiasan tempatan. Ini saya lakukan memandangkan saya menyedari bahawa negara kita menyimpan pelbagai khazanah kepelbagaian fauna yang tinggi yang masih banyak lagi belum diterokai.

Nama saya MOHAMAD ZAINI SULEIMAN. Mula bertugas di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar, Batu Berendam, Melaka pada tahun 1984 saya mula bertugas di Bahagian Pembiakan Ikan Kap Tempatan dan Eksotik sebagai seorang Pegawai Penyelidik. Walaupun background saya dalam bidang Biologi (Sains Hayat) saya ditugaskan dalam bidang baru yang masih asing dalam karier saya. Melalui pembelajaran daripada buku dan bimbingan kakitangan senior saya meneruskan bidang kerja saya dengan penuh minat dan bertanggungjawab. Lama kelamaan bidang penyelidikan pembiakan ikan ini kian menjadi darah daging saya.. saya begitu bersyukur dan gembira sekali kerana melalui kerjaya saya ini saya dapat menimba banyak ilmu pengetahuan baru yang tidak pernah saya tempuhi dan pelajari sebelum ini. Disamping menimba pengalaman dan pengetahuan saya juga berpeluang berhubung secara langsung dengan masyarakat penternak dimana latarbelakang keluarga saya merupakan petani tradisi semenjak turun-temurun.